Press Release

PHB Tingkatkan Saiz Dana AHB ke 1.5 Billion Unit

Tambahan 500 juta unit dana tersebut berjumlah RM500 juta, bersempena dengan pengumuman pengagihan pendapatan AHB yang kedua bagi tahun 2012 berjumlah 3.25 sen seunit

Kuala Lumpur, 24 Oktober 2012 – Pelaburan Hartanah Berhad ("PHB") dan Maybank Asset Management Sdn. Bhd. (dahulunya dikenali sebagai Mayban Investment Management Sdn. Bhd.) hari ini mengumumkan pengagihan pendapatan dana Amanah Hartanah Bumiputera ("AHB" atau "Dana") yang kedua bagi tahun 2012 sebanyak 3.25 sen seunit, berjumlah RM31 juta kepada semua pemegang unit AHB. Jumlah pengagihan pendapatan tersebut membawa pulangan pendapatan tahunan sebanyak 6.50 peratus berasaskan kepada ukur rujuk prestasi 12 bulan Akaun-i Pelaburan Am, Maybank Islamic Berhad.

Pengagihan pendapatan dana AHB, sekiranya ada, dibayar setiap enam bulan. Pembayaran tersebut telah dizakatkan dan tidak dikenakan cukai. Pembayaran pendapatan dana bagi tahun ini akan dikreditkan secara langsung ke dalam akaun bank para pemegang unit pada 25 Oktober 2012. Pengagihan pendapatan dana ini adalah yang keempat dilakukan oleh AHB kepada pemegang unit dana tersebut sejak dilancarkan pada November 2010. Pada April 2012 tahun ini, AHB telah mengumumkan pengagihan pendapatan dananya yang pertama sebanyak 3.25 sen seunit. Dengan pengagihan pendapatannya yang terkini, sejumlah RM62 juta telah dibayar kepada para pemegang unit dana tersebut bagi tahun berakhir 30 September 2012.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Encik Nor' Azamin Salleh – Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank AM. Ketika pengumuman tersebut dibuat, beliau berkata, "Sejak dilancarkan, AHB telah mengekalkan kadar pulangan tahunan sebanyak 6.50 peratus. Ini menunjukkan bahawa AHB telah berjaya mengekalkan prestasinya dan objektifnya untuk memberikan para pelabur pulangan pendapatan yang tetap dan konsisten. Dalam keadaan kadar faedah yang rendah, AHB kekal sebagai pilihan pelaburan yang sesuai bagi penyertaan golongan Bumiputera dalam pemilikan benefisial hartanah-hartanah komersial yang terletak di pelbagai lokasi utama di Malaysia. Kami percaya permintaan untuk ruang pejabat di seluruh Lembah Klang akan kekal bertahan, seperti kadar penghunian dan sewaan bagi ruang pejabat bergred tinggi di kawasan utama disebabkan oleh kekurangan bekalan bangunan sedemikian. Tambahan pula, inisiatif kerajaan dalam menarik syarikat multinasional untuk membuka pejabat mereka di Lembah Klang akan terus menggalakkan pertumbuhan sektor ini bagi 2 tahun yang berikutnya."

"AHB telah menerima respon yang sangat menggalakkan sejak ia diumumkan pada bulan November 2010. Dana ini kekal dilanggan sepenuhnya dan terus menerima pertanyaan di cawangan-cawangan Maybank diseluruh negara. Ini membuktikan bahawa dana ini adalah suatu pilihan pelaburan yang utama dikalangan Bumiputera yang melihatnya sebagai suatu peluang menarik untuk melibatkan diri dalam pemilikan benefisial aset berasaskan hartanah perdana dengan kadar penyertaan minimum yang rendah. Ia juga memberikan pulangan yang kompetitif dan keselesaan dalam pelaburan aset yang berasaskan prinsip Syariah," tambah Azamin.

Penambahan Saiz Dana AHB
Lanjutan daripada pengumuman pengagihan pendapatan dana AHB yang kedua bagi 2012 tersebut, Datuk Kamalul Arifin Othman – Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PHB, telah mengumumkan penambahan jumlah saiz dana AHB.

Dalam pengumuman tersebut, Datuk Kamalul berkata, "Pada awal tahun ini, kami telah mengumumkan bahawa PHB akan menambah saiz dana sebagai salah satu usaha berterusan dalam meningkatkan pemilikan benefisial Bumiputera dalam aset berasaskan hartanah komersial perdana. Hari ini, kami berasa berbesar hati mengumumkan penambahan unit dana sebanyak 500 juta unit. Tambahan saiz dana ini akan dapat dilanggan bermula 24 Oktober 2012." Dengan pengumuman tersebut, saiz dana AHB kini meningkat kepada 1.5 billion unit, iaitu bersamaan dengan RM1.5 billion.

Selain daripada penambahan saiz dana tersebut, Datuk Kamalul juga mengumumkan penambahan kadar penyertaan pelaburan maksimum kepada RM400,000 (sebelumnya RM200,000), membolehkan para pelabur untuk menambah pelaburan dan pulangan dari dana tersebut. Kadar penyertaan minima kekal pada RM500.

"Kami juga berbangga untuk mengumumkan bahawa kami telah memeterai satu kolaborasi dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja ("KWSP"). Ini membolehkan golongan Bumiputera melabur dalam dana AHB simpanan KWSP mereka di cawangan-cawangan Maybank diseluruh negara." Pelabur yang berminat adalah dinasihati untuk membaca dan memahami isi kandungan prospectus AHB yang bertarikh 24 Oktober 2012 yang telah didaftarkan di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Prospektus ini boleh diperolehi di mana-mana cawangan Maybank di seluruh negara.

PHB Maju ke Fasa Seterusnya
Sejak penubuhannya, PHB telah mengambil alih hartanah komersial perdana di bandaraya utama di seluruh Malaysia. Sehingga kini, PHB telah mengumpulkan aset hartanah sebanyak RM1.5 billion.

Senarai aset PHB yang telah disiapkan termasuk Blok A,B,D,E,F & G di Peremba Square, Menara Bumiputera-Commerce, CP Tower, Wisma Consplant, Gudang Logistik di Shah Alam, Menara Prisma Putrajaya, Tesco Setia Alam dan Hospital Pakar DEMC. PHB juga telah mempelbagaikan portfolio pelaburannya dengan menyertai sektor pembangunan hartanah di lokasi utama. Kini, PHB sedang membangunkan hartanah komersial Lot G di KL Sentral – sebuah projek pembangunan berintegrasi, dengan pusat membeli-belah 7 tingkat dan menara pejabat setinggi 32 tingkat, termasuk sebuah bangunan tambahan Hospital Gleneagles Kuala Lumpur setinggi 10 tingkat di Jalan Ampang.

PHB juga akan memainkan peranan lebih penting dalam pelaburan dan pembangunan sektor hartanah dengan bertindak sebagai pemaju utama di sebuah lokasi utama di Bangsar.

"PHB telah bekerja keras untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam pelaburan aset berasaskan hartanah perdana. Kami sangat berbangga untuk mengatakan bahawa kami telah berjaya dalam melengkapkan "Fasa Penubuhan" dan sedang menuju "Fasa Perkembangan", dimana kami menyasarkan untuk meneruskan lagi aspirasi kerajaan dalam meningkatkan pemilikan Bumiputera dalam hartanah komersial perdana." Datuk Kamalul menjelaskan bahawa dalam "Fasa Perkembangan", PHB akan bertindak dengan lebih aktif dalam mencari hartanah yang sesuai untuk dilabur atau dibangunkan, dan seterusnya dimasukkan kedalam dana AHB dan sekali gus menyediakan lebih banyak peluang untuk para pelaburnya menjadi sebahagian dari inisiatif pembentukan kekayaan negara yang seimbang.





Back to Top